Wednesday, April 7, 2010

Banyak pengurusan sekolah tak prihatin manfaat sukan

Oleh Rejal Arbee
Berita Harian Online
2010/04/08

Aktiviti mampu rangsang pencapaian akademik, wujud semangat bersaing.
 
PENDEDAHAN akhbar The New Sunday Times Ahad lalu, mengenai bagaimana kebanyakan sekolah di seluruh negara mengabaikan kegiatan sukan untuk murid mereka sungguh mengaibkan. Apa tidaknya, kalau ada sekolah yang sudah tidak lagi mengadakan hari sukan tahunan mereka buat beberapa tahun lamanya, manakala ada pula yang langsung tidak mempunyai apa-apa pun peralatan sukan. Tinjauan itu mendapati ada sekolah yang tidak mempunyai padang dan yang ada mempunyai padang, tetapi dibiarkan semak dengan keadaan amat menyedihkan hingga tidak dapat digunakan murid.
 
Ada pula sekolah yang mana muridnya didapati bermain sepak takraw di tempat letak kereta sekolah dan terpaksa berhenti bermain setiap kali ada kereta yang hendak beredar dari situ.

Keadaan menyedihkan ini adalah gara-gara keghairahan semua sekolah hendak mengejar pangkat A untuk murid mereka dalam peperiksaan. Keadaan begini sungguh menakjubkan memandangkan sukan adalah kegemaran ramai rakyat negara ini, selain dapat memupuk perwatakan baik dan bertanggung jawab di kalangan murid yang menyertai sukan.

Kementerian Pelajaran sendiri harus dipertanggungjawabkan berikutan wujudnya keadaan sedih begini kerana hingga kini pun terus mengukur prestasi sekolah mengikut pencapaian murid mereka dalam peperiksaan sama ada UPSR, PMR mahu pun SPM.

Malah kementerian sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengiktiraf prestasi semua sekolah mengikut pencapaian dalam peperiksaan dengan menyenaraikan kedudukan sekolah mengikut peratusan pencapaian murid yang mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Dalam pada itu, pengurusan sekolah pula akan mendapat pengiktirafan dengan guru besar atau pengetua berkenaan diberi ganjaran dan kenaikan pangkat mengikut pencapaian murid mereka dalam peperiksaan.

Maka dengan itu apa hendak dihairankan jika pengurusan sekolah tidak prihatin terhadap kesihatan murid mereka atau berfikiran cetek terhadap kebaikan sukan dan berterusan mengabaikan segala kegiatan sukan atau riadah untuk murid mereka, hanya kerana mahu mengejar pangkat bagi diri sendiri.

Tinjauan akhbar itu yang dilakukan dalam tempoh beberapa minggu lalu adalah untuk mengesan kesediaan sekolah mengadakan kegiatan sukan berikutan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran bahawa mulai tahun depan kerajaan hendak memperkukuhkan kembali kegiatan sukan di sekolah dengan menetapkan satu murid satu sukan bagi semua sekolah baik sekolah rendah, mahu pun sekolah menengah. Sukan juga akan dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah.

Tinjauan mendapati kedudukan sukan di sekolah amat menyedihkan. Ia memberi gambaran bahawa pengurusan kebanyakan sekolah dalam negara tidak prihatin terhadap peranan yang boleh dimainkan sukan bukan saja untuk memantapkan kesihatan murid, tetapi juga untuk kesejahteraan perwatakan mereka secara keseluruhannya.

Agak menghairankan juga bagaimana pengurusan majoriti sekolah termasuk sekolah berasrama penuh (SBP) pun tidak prihatin terhadap kebaikan sukan untuk murid.

Apakah mereka itu tidak tahu sukan bukan saja boleh memupuk disiplin, tetapi mewujudkan semangat berpasukan yang amat tinggi selain memupuk perasaan ‘esprit-de-corp’ bukan saja di kalangan murid yang bersukan, tetapi perasaan bangga di kalangan semua murid terhadap sekolah mereka apabila dapat mengatasi sekolah ‘seteru’ dalam sesuatu pertandingan sukan.

Maka itulah juga amat menyedihkan apabila persatuan guru-guru sekolah Cina menentang keras cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad hendak mengadakan sekolah wawasan ketika beliau pemimpin negara untuk mengelompokkan sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil supaya boleh mengadakan kegiatan sukan dan beriadah bersama antara murid berbilang kaum selain mewujudkan pergaulan dan memupuk perasaan faham memahami dan mahu bekerjasama.

Mungkin sesetengah kita boleh memahami sekolah biasa tidak ambil kisah terhadap sukan. Tetapi apa alasannya bagi sekolah berasrama penuh juga memandang remeh terhadap kegiatan sukan? Walhal sekolah ini sudah mempunyai padang serta peralatan sukan yang boleh dimantapkan murid mereka.

Bukankah semua murid mereka berada di sekolah 24 jam sehari waktu persekolahan? Apakah semua masa yang ada mahu ditumpukan untuk belajar saja? Apa yang dikehendaki hanyalah komitmen dan iltizam pihak pengurusan sekolah untuk memberikan perhatian sewajarnya kepada sukan.

Maka itulah juga saya hairan bagaimana sekolah seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang pada satu masa dulu terkenal sebagai antara sekolah terbaik dalam ragbi, bola sepak, hoki dan kriket kini juga tidak begitu mahu berikan tumpuan kepada sukan di kalangan muridnya.

Saya masih ingat ketika berada di sana selama 10 tahun antara 1951 hingga 1960 semua muridnya harus berada di padang setiap petang hari sekolah. Siapa yang didapati masih berada di bilik akan dikenakan tindakan ‘detention class’.

Ketika itu penggal pertama ditetapkan untuk bola sepak, penggal kedua kriket dan olahraga dan penggal ketiga ragbi dan hoki. Selain itu gelanggang tenis, badminton, malah skuasy dan ‘fives’ juga disediakan. Begitulah tumpuan yang diberikan kepada sukan di sekolah itu. Tetapi ini tidak pula bermakna pencapaian akademik diabaikan sebab setiap tahun pencapaian akademik muridnya juga membanggakan.

Pada 50an itu MCKK hanya satu-satunya sekolah yang mempunyai gelanggang skuasy. Ketika itu selain dari MCKK hanya Lake Club (kini Kelab di Diraja Tasik Perdana) saja yang mempunyai gelanggang skuasy dalam negara. Malah bagi permainan ‘fives’ hingga kini pun hanya MCKK saja mempunyai gelanggangnya. Permainan itu diwujudkan ketika penjajahan Inggeris mengikut jejak permainan yang diadakan di sekolah berasrama penuh yang terkenal di Britain, iaitu Eaton.

Sebenarnya pertandingan pelbagai permainan sukan boleh dianjurkan antara semua sekolah berasrama penuh seperti juga MRSM boleh mengadakan pertandingan antara semua MRSM. Perlawanan antara jaguh SBP dan jaguh MRSM dalam bola sepak, ragbi, hoki, skuasy, tenis , sepak takraw, bola keranjang dan lain-lain sukan boleh diadakan sebagai acara tahunan untuk mendapat jaguh sekolah berasrama penuh.

Harapnya cadangan ini mendapat sokongan supaya sekolah itu tidak memberikan tumpuan kepada bidang akademik saja, tetapi memberi juga perhatian sewajarnya terhadap kegiatan sukan di kalangan murid mereka. Malah kegiatan sukan akan memberangsangkan lagi pencapaian di bidang akademik bagi murid terbabit selain dapat membentuk perwatakan jitu yang menyeluruh dan dapat pula menanamkan semangat sedia bersaing

No comments:

Post a Comment