Thursday, April 1, 2010

Pelajar meninggal ketika latihan sukan

Oleh Petah Wazzan Iskandar

wazzan@bharian.com.my

2010/04/01

Remaja dipercayai hidap komplikasi jantung

GEORGETOWN: Seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Damai, Bukit Mertajam, meninggal dunia dipercayai akibat komplikasi jantung ketika mengikuti latihan sukan sekolahnya, kelmarin.

Ang Eng Giap, 13, pelajar Tingkatan Satu, terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika sedang berlari pada latihan acara 100 meter kira-kira jam 7.30 pagi. Berikutan itu, pihak sekolah menghubungi bapanya dan dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, mengesahkan pelajar itu mengalami komplikasi jantung ketika menjalani latihan sukan.

“Kami mendapati pelajar itu secara rela mengikuti latihan sukan dan mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Ibrahim Mohamad, berkata pihak sekolah menghubungi ambulans dan memaklumkan keluarga pelajar sebaik kejadian berlaku.

Katanya, bapa pelajar itu memberitahu anaknya pernah mengalami komplikasi jantung ketika kanak-kanak.

“Bagaimanapun, pihak sekolah yang melakukan pemeriksaan pada rekod Sistem Maklumat Murid (SMM) mendapati, bahagian penyakit kronik atau adanya sebarang komplikasi ditanda 'tiada',” katanya.

Ibrahim berkata, guru kelas dan pihak sekolah tidak dimaklumkan mengenai penyakit yang dialami pelajar itu atau pernah berlaku masalah komplikasi jantung ketika kecil.

“Kami tidak tahu mengapa penyakitnya tidak ditulis dalam SMM dan mungkin mereka terlepas pandang atau beranggapan ia tidak penting,” katanya.

No comments:

Post a Comment